Tanpa kita sedar hari ini dah genap seminggu kita berpuasa. Sudah tentu ramai yang merasai perbezaan lebih-lebih lagi berpuasa ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini merupakan suasana yang baharu buat majoriti umat islam di negara ini berbanding tahun-tahun sebelumnya yang penuh keceriaan, kemeriahan dan keseronokan.
Tahun ini ramai beranggapan sambutan ramadan seakan hambar, sepi dan tiada ‘istimewanya’.
Suka atau tidak, kita kena menerima keadaan ini. Kita perlu sama-sama berjuang untuk memutuskan rantaian Covid-19 meskipun ada sedikit kelonggaran diberikan dalam PKP fasa 4 ini.
Ramadan di musim PKP pasti akan dikenang sampai bila-bila, kenapa? kerana TIADA SOLAT TARAWIH DI MASJID, TIADA BAZAR RAMADAN, TIADA TRADISI BALIK KAMPUNG DAN JUGA TIADA MAJLIS BERBUKA PUASA.

Namun mungkin ramai terlepas pandang hikmah Ramadan di musim PKP ini.
Ketika inilah kita dapat memperbanyakkan amal ibadah sama ada sendirian atau bersama keluarga. Si bapa pula dapat menunjukkan contoh kepada anak-anak sebagai ketua keluarga, menjadi imam solat jemaah dan juga tarawih bersama-sama.
Jadi, ambil masa bayangkan segala hikmah yang telah berlaku sepanjang tempoh PKP khususnya ketika ramadan. Nikmat apa lagi yang kita dustakan, jadi berhentilah mengeluh.
Mungkin kehadiran Covid-19 ini untuk memberi kita ‘pengajaran’ dan perbanyakkan ibadah kepada Yang Maha Esa.
Renung-renungkan, fikir-fikirkan…